Isnin, Mac 17, 2008

Politik Kelantan

Mantan Ahli Parlimen Pasir Mas

Sebagai mukaddimah, saya copy paste 2 keratan tulisan Tuan Haji Mohd Sayuti Omar dalam blognya :

1) "Tetapi Alhamdulilah sebaik saya memijak kaki di padang Mini Stadium Pasir Mas kebetulan nama Ibrahim Ali disebut sebagai calon Parlimen Pasir Mas. Orang yang mengumumkan ialah Yang Dipertua Pas Pasir Mas, Ismail Nuh, yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas dan pernah bertempur dengan Ibrahim dan menjadi ahli Parlimen Pasir Mas selama dua penggal. Selepas pengumuman itu kelihatan keduanya berpelukan antara satu sama lain, pelukan ala Arab. Tanpa disedari air mata saya membekak di birai mata kerana seronoknya melihat dua hamba Allah yang sebelum ini berada di sudut berbeza namun hari ini boleh pula duduk atas pentas yang sama untuk menuju mardhatilah".

2) "Beliau menjelaskan pengudurannya daripada mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas telah dibuat sejak dua tahun lagi. "Saya telah jelaskan kepada pimpinan Pas kawasan mengenai hasrat saya ini bahawa pada pilihan raya ini saya tidak akan bertanding di mana-mana kerusi," jelasnya.Saya ingin jelaskan di sini saya ikhlas mengenai pengunduran ini dan berharap supaya para pengundi memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Paduka Ibrahim Ali," ujarnya disambut takbir. Ismail juga berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya dan orang ramai menolak apa-apa dakyah mengenai tindakan Pas memberi laluan kepada Ibrahim bertanding di kerusi Pasir Mas".
-----------------------------------------------
Pilihanraya baru-baru ini, menyaksikan beberapa nama besar di Kelantan tidak bertanding/digugurkan daripada menjadi calon. Antaranya Ustaz Ismail Nuh, mantan ahli parlimen Pasir Mas dua penggal (1999-2004/2004-2008). Saya kira, nama beliau mungkin kurang dikenali (orang luar dari Kelantan) bagi penggal pertama menjadi ahli parlimen. Maklumlah, waktu itu ramai tokoh2 besar ahli parlimen daripada PAS dan Keadlian menjadi 'Yang Berhormat'. Tetapi tidak pada penggal seterusnya. Hanya 6 orang ahli parlimen PAS. Justeru menyebabkan nama Ustaz Ismail Nuh dikenali ramai. Beliau, dianggap wakil 'ustaz' kepada ahli parlimen yang lain. Walaupun ahli parlimen Pengkalan Chepa lulusan al-Azhar, tetapi, beliau awal2 lagi menyatakan, urusan/soal agama di parlimen akan diserahkan pada Ustaz Ismail Nuh. Sesiapa yang mengenali Ustaz Ismail Nuh, mungkin boleh bersetuju dengan pandangan Ustaz Abdul Halim Abd. Rahman (ahli parlimen Pengkalan Chepa). Beliau ada kepakaran dalam bidang agama. Ilmunya mungkin sebanyak atau mungkin lebih daripada timbunan kitab di rumahnya. Sebelum datang Mesir, beliau pernah ajak saya ke rumahnya. Kitab banyak kat rumah katanya.

Kalau tidak salah ingatan, beliau lulusan dari Universiti Baghdad. Seangkatan dengan beliau, Ustaz Muhammad Daud al-Iraqi (Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat), Allah huyarham Ustaz Mumtaz (mantan Penolong Kanan 1 Ma'had Muhammadi Lelaki sekitar tahun 90) dan lain-lain. Beliau ada kuliah agama sendiri. Mungkin di seluruh Kelantan. Yang saya tahu, setiap malam sabtu, kuliah magrib beliau di Masjid Langgar, Kota Bharu. Saya yang agak 'fanatik' dengan suara dan penyampaian kuliah beliau, selalu mengikuti kuliah magrib itu. Ustaz Ismail Nuh juga memiliki madrasah/pondok sendiri di kampungnya, Slow Machang, Pasir Mas. Di tengah kemashuran nama beliau waktu itu, maka beliau dicadangkan menjadi calon parlimen Pasir Mas tahun 1999.

Sebenarnya, beliau bukan mahu sangat menjadi YB. Saya masih ingat, ketika mana Ustaz Ismail Nuh datang ke rumah saya, beliau ada menyebut sayangkan madrasah dan anak-anak murid yang 'bertalaqi' dengan ilmunya. Kalau bukan Tok Guru Mursyidul Am yang minta jadi calon, nescaya beliau akan teruskan aktiviti harian mencurahkan ilmu kepada masyarakat setempat. Beliau bukan seorang yang sukakan jawatan. Bilamana nama beliau 'tidak naik' untuk PRU 12, tiada reaksi kecewa, mengeluh seperti sesetengah yang lain. Alangkah manisnya, kalau semua ahli PAS bersikap seperti mantan ahli parlimen Pasir Mas ini!

Tiada ulasan: