Selasa, Julai 28, 2009

Kembali Dari Gua

Seronok juga mendengar perbualan rakan-rakan yang baru pulang rehlah dari Cameron Higland. Selama tiga hari bermusafir bermula hari sabtu 21.7.2009. Selain Cameron, mereka berkesempatan singgah di Tasik Kenyir dan Lata Belatan. Dikesempatan ini, saya memohon maaf kerana tidak dapat bersama-sama dalam rehlah yang dianjurkan disebabkan beberapa masalah.

Secara kebetulan pula, (kebetulan juga, hari itu ada perlawanan antara Manchester United Vs Malaysia. Tetapi ini bukan faktor saya tidak turut serta dalam rombongan sebab saya anti red devils) saya perlu menjadi guru pengiring kepada peserta taekwondo sekolah (Maahad Darul Anuar) menyertai Kejohanan Taekwondo Terbuka Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan, Panji.

Saya tinggalkan sementara cerita Cameron. Selepas perlawanan taekwondo selesai, saya ada terima satu sistem pesanan ringkas (SMS) daripada seorang pelajar bertanyakan keputusan perlawanan (terima kasih kerana cakna dengan aktiviti /program sekolah). Saya sudah pun sampaikan keputusan kepada pengirim pesanan ringkas itu. Untuk tatapan umum, sekali lagi saya perturunkan keputusan perlawanan dalam bentuk ayat yang sedikit 'skema':

"Kejohanan taekwondo tersebut, merupakan kejohanan pertama yang disertai pelajar MADA sepanjang tahun ini. Nasib baik, penyertaan sulong tidak menghampakan. Daripada 4 penyertaan, MADA berjaya merangkul 1 pingat gangsa. Mohamed Hafizur Rahman yang bertanding dalam kategori bawah 55 kg berjaya mendapat tempat ketiga. 2 kali menang dan sekali kalah. Manakala peserta lain, Nik Muhammad Azhar, Mohamad Rafee Farhan dan Mohd Amirul Izzat sudah tentu akan menjadikan penyertaan kali ini sebagai pengalaman yang berguna untuk masa akan datang. Ini merupakan penyertaan pertama mereka di pentas pertandingan sebenar (kecuali Mohamed Hafizur Rahman yang pernah 'masuk bertanding')".

Saya masih baru di MADA. Belum sampai setahun usianya. Mengikut cerita orang lama dan hasil 'pengeledahan' fail-fail lama, rupanya banyak juga kejayaan yang diraih pelajar MADA dalam aktiviti ko-kurikulum di semua peringkat kejohanan yang disertai. Dengan pelbagai kejayaan yang pernah diraih tersebut, sudah tentu ramai yang ingin melihat paling tidak, pelajar MADA dapat menyaingi (kalaupun tidak dapat mengatasi) prestasi lalu dalam al-anshitoh allasofiyah (kokurikulum). Sebelum terlupa, MADA bermula tahun ini, sudah beralih pengurusan. Justeru, platform dan pentas juga sedikit berlainan. Walau dimana sekalipun kita, pepatah arab ini masih relevan (dan mungkin terus relevan) diguna pakai, al-aqlu salim fi Jismi Salim.

Kembali semula kepada cerita Cameron. Saya belum sampai di sana. Jadi tiada 'cerita' ataupun 'khyalan' yang boleh digambarkan. Tetapi, saya pernah sampai di Tasik Kenyir. Bukan setakat singgah. Siap bermalam beberapa hari di sana. Banyak cerita yang patut didengar dan tak patut di tulis di sini. Menyeronokkan, mendebarkan, mencemaskan dan akhirnya mengnatijahkan satu keinsafan kepada rombongan kami ke Tasik Kenyir pada tahun 1998, kalau tak silap. Akhir sekali, terima kasih kepada Mudir kerana menghadiakan teh berperisa oren dan satu bungkusan tomato sebesar ibu jari dari tanah tinggi Cameron kepada mereka-mereka yang tidak turut serta dalam jaulah baru-baru ini.