Manhaj Usrah
Semalam (1 ogos), sepatutnya diadakan usrah di kalangan guru-guru dan kakitangan Maahad Darul Anuar. Tetapi, disebabkan beberapa masalah teknikal, pelaksanaan usrah tersebut terpaksa ditunda pada hari selasa (4 ogos). Kalau ikutkan tentatif, sebelum usrah akan dilangsungkan perlawanan bola sepak antara guru vs pelajar. Selepas itu, sarapan pagi. Kemudian daripada itu, barulah usrah. Pun begitu, hanya bola sepak sahaja yang berjalan semalam (sarapan pagi sudah tentu). Perancangan asal, guru vs pelajar tingkatan 4. Tetapi, kerana tidak cukup 'korum', (sebab ramai yang balik kampung) maka terpaksa dicampur dengan pelajar-pelajar daripada tingkatan lain. Sebelah guru juga terpaksa 'meminjam' seorang dua pemain di kalangan pelajar khususnya untuk ditempatkan di posisi haris marmar (penjaga gol). Pasukan guru dipimpin oleh pasangan adik-beradik Ustaz Nik Omar (Mudir) dan Ustaz Nik Abdul Rahim (Penolong Kanan). Perlawanan tersebut memihak kepada team guru MADA dengan keputusan 3-2. Terima kasih kepada jaringan Ustaz Nik Omar dan Ustaz Hesyam (arab Mesir (Mansurah)). Sebiji gol lagi hasil jaringan sendiri pasukan lawan. Manakala, gol saguhati team pelajar dijaringkan oleh Anan tingkatan 3 dan Aizat tingkatan 4.
Sebenarnya ada 2 cerita disebalik cerita yang ingin disampaikan. Cerita pertama. Saya hanya sempat bermain lebih kurang sepuluh minit sahaja. Akibat terlalu ghairah menggelecek pemain lawan, sehingga terlupa keadaan padang yang licin di waktu pagi dan dengan kasut yang tidak 'berbutir' (kasut sukan biasa), maka terjadilah adegan yang tidak ingin dilihat. Saya jatuh terduduk dengan kedua-dua tangan menongkat bumi. Saya terpaksa keluar dari padang serta merta. 'Mujur' tangan kanan sahaja yang 'kena'. Akibatnya Saya tidak boleh membengkokkan tangan. Terasa sakit yang amat sangat. Walaupun teruk sebegitu sekalipun, Saya masih 'buat andaian' hanya seliuh dan bengkak biasa sahaja. Oleh itu, saya tidak mendapatkan apa-apa rawatan sehinggalah jam 6.15 petang (kecederaan itu berlaku jam 9.00 pagi).
Akhirnya saya mengalah (masih buat andaian seliuh biasa) dan pergi jua berjumpa tukang urut berhampiran rumah. Hati saya berdebar-debar bila memandang muka tukang urut yang membahasakan dirinya pokme. Dia pegang lengan saya dan berkata "teruk benar ni. Urat sendi lari (sendi tergelincir dari landasannya)" katanya. Ketika mana dia 'royak' urat sendi lari, dalam hati, saya terasa ingin menangis, meraung dan macam-macam perasaan lagi timbul. Bukan takut kerana 'sendi lari'. Tapi takut kerana sakitnya bilamana proses nak 'memasukkan' semula sendi yang terkeluar itu. Lama sebelum ini, saya pernah dengar daripada kawan-kawan yang sama kes seperti saya. Dengar mereka cerita pun, 'seria' bulu roma rasanya. Sebab itu bila tukang urut kata 'sendi lari', saya terus terbayang kata-kata kawan saya tadi dan sudah tahu 'faedahnya' bilamana lengan akan ditarik tukang urut. Hanya Allah dan mereka yang pernah 'kena' sahaja tahu rasa sakitnya proses memasukkan sendi lari. Sepanjang bergelumang dengan aktiviti menyepak bola, inilah kali pertama saya 'kena'. Orang Kelantan kata 'nak ggeroh'.
Cerita kedua. Selepas bersetuju, usrah ditunda pada hari selasa, beberapa guru berbincang dan bersepakat untuk ke pusat peranginan, air terjun, Jeram Pasu / Jeram Linang, Pasir Puteh. Bilamana hampir sampai ke destinasi, kami melencong masuk ke jalan menuju Jeram Pasu. Sebaik sampai, kami terus mendaki beberapa anak bukit. Tetapi, malangnya, tiada 'lubuk' yang sesuai untuk kami memulakan 'usrah' versi lain di Jeram Pasu. Semua kawasan yang dikategorikan 'boleh mandi' penuh dengan orang ramai. Tiba-tiba muncul cadangan agar berpindah lokasi. Jeram Linang pula jadi sasaran. Semua bersetuju untuk ke sana. Tambahan pula di sana lebih luas dan selesa. Tapi yang lebih penting, ada di kalangan kami yang 'mengidam' untuk merasa sejuknya air terjun. Dalam perjalanan pulang, masing-masing bersetuju bahawa, bermain bola(sudah tentu merapatkan ukhuwah antara pelajar dan guru), sarapan (untuk menguatkan jasmani) dan rehlah ke Jeram Pasu & Jeram Linang ( sudah tentu melihat,memerhati alam cipataan Ilahi) sebahagian daripada manhaj usrah:)